Semalam, saya dipanggil untuk memberi keterangan siasatan berhubung temubual saya di Al Jazeera pada 6 Mac lepas.
Pada minggu yang sama juga, YB Hannah Yeoh juga dipanggil berhubung tweet berkaitan dasar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Wartawan media South China Morning Post, Tashny Sukumaran telah dipanggil polis apabila beliau menyiarkan laporan berkenaan serbuan imigresen di kawasan PKPD.
Cynthia Gabriel, Pengarah Pusat Memerangi Korupsi dan Kronisme (C4) juga telah dipanggil pihak polis kerana mempersoalkan sepucuk surat malah menggesa siasatan dilakukan terhadap Kerajaan kerana melakukan sogokan bagi mendapatkan sokongan politik untuk kekal berkuasa.
2 kes terbaru di bawah Kerajaan PN yang telah disuarakan oleh Phil Robertson, Timbalan Pengarah HRW Asia ini mengingatkan saya kepada satu laporan khas oleh Al-Jazeera tentang kisah gelap rakan-rakan media ketika mula-mula mahu melaporkan kes 1MDB dahulu.
Al-Jazeera mengeluarkan dokumentari pendek ini pada 18 April 2019 dengan tajuk, “The media backstory behind Malaysia’s 1MDB corruption case”.
Kita berterima kasih kepada keberanian sebuah portal yang diberi nama KINIBIZ pada tahun 2013 yang dikatakan sebagai portal pertama yang mendedahkan kes korupsi terbesar di dunia iaitu 1MDB.
Bermula daripada KINIBIZ inilah, Sarawak Report dengan laporan yang sangat komprehensif oleh Clare mula menggemparkan banyak pihak terutama sekali media-media antarabangsa.
Media tempatan juga mula menyambutnya dengan baik. The Edge antara yang terawal.
Sarawak Report selamat kerana tidak berpusat di Malaysia sebaliknya di London. Tetapi The Edge terus diberikan amaran dan ditekan. Akhirnya, tiga portal media tempatan diarahkan tutup. ketiga-tiganya, The Malaysian Insider, Asia Sentinel dan Medium disekat oleh pihak berkuasa.
Ketika itu kerajaan benar-benar mengawal media tempatan terutama sekali media arus perdana yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak berkuasa.
Tetapi rakyat semakin bijak. Lambakan laporan secara online telah membuka mata banyak pihak. Rakyat tidak mudah diperbodohkan dengan naratif yang terkawal dan berbayar.
Macam mana baik sekalipun ‘headline’, rakyat Malaysia tetap bukan seperti kata pepatah, “Kuman di seberang laut nampak, gajah depan mata tak nampak”.
1MDB ialah gajah depan mata. Kes Musa Aman dan kes-kes yang bakal digugurkan nanti juga ialah gajah depan mata.
Kamu boleh membayar dan mengawal media, tetapi kamu tidak akan mampu menutup rasa tidak selesa rakyat terhadap kes-kes berprofil tinggi yang begitu mudah sekali kamu gugurkan untuk kekal berkuasa.
Rakyat nampak dan rakyat menilai.
Search